Bajet Sarawak 2024: RM200 juta bagi pelaksanaan projek dan program pelancongan

Siaran langsung di bilik media Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan Abang Johari membentangkan cadangan Bajet 2024 di Persidangan DUN hari ini (20 Nov 2023).
Siaran langsung di bilik media Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan Abang Johari membentangkan cadangan Bajet 2024 di Persidangan DUN hari ini (20 Nov 2023).

KUCHING, 20 Nov: Kerajaan Sarawak menerusi Bajet 2024 memperuntukkan sejumlah RM200 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek dan program pelancongan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi membangunkan kawasan tarikan pelancongan baharu, selain menaik taraf kemudahan sedia ada.

“Sektor pelancongan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Negeri.


“Kita berusaha menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama bagi eko-pelancongan dan penganjuran acara, mengalakan komuniti memelihara warisan, budaya dan biodiversiti,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian pada ucapan Belanjawan 2024 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Antara yang diberi keutamaan menerusi peruntukan tersebut ialah Kampus Muzium Sarawak, Taman Arkeologi Santubong dan Pusat Wallace serta Bangunan Muzium Lama.

Tambah Abang Johari, kerajaan juga berusaha untuk menambah perhubungan udara ke beberapa negara dalam rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei dan Filipina.

“Sejumlah RM52 juta menerusi Bajet 2024 diperuntukkan kepada Sarawak Tourism Board dan Business Events Sarawak bagi kelancaran operasi, pemasaran dan promosi,” ujar Abang Johari. — DayakDaily