Bajet Sarawak 2024: Hampir RM200 juta peruntukan bagi pembangunan sukan Sarawak

Siaran langsung di bilik media Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan Abang Johari membentangkan cadangan Bajet 2024 di Persidangan DUN hari ini (20 Nov 2023).
Siaran langsung di bilik media Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan Abang Johari membentangkan cadangan Bajet 2024 di Persidangan DUN hari ini (20 Nov 2023).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 Nov: Bajet 2024 memperuntukan hampir RM200 juta bagi pembangunan pelbagai acara sukan di Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejumlah RM69.35 juta diperuntuk kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bagi meningkatkan kualiti dan pencapaian atlit Negeri.


Katanya, ia bagi menyediakan kemudahan sukan terbaik bagi tujuan latihan dan pendedahan pertandingan kepada para atlit.

“Sarawak akan menjadi tuan rumah kepada Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 pada 2024.

“Pada penganjuran tahun 1990 dan 2016 sebagai tuan rumah, Sarawak telah muncul juara keseluruhan dan tempat kedua.

“Sarawak menyasarkan untuk muncul juara keseluruhan pada Sukma 2024,” kata Abang Johari pada ucapan Belanjawan 2024 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah beliau, Bajet 2024 turut memperuntukkan RM50 juta kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Katanya, ia bagi tujuan pembangunan bakat, aktiviti dan kemudahan.

Manakala sejumlah RM75 juta pula diperuntukkan bagi tujuan membina kemudahan sukan yang baharu serta menaik taraf kemudahan sedia ada.

“Antara projek yang telah diluluskan ialah ‘High Performance Centre’, menaik taraf padang bola Stadium Sarawak dan menaik taraf kemudahan sukan sedia.

“Kampung Sukan Sarawak, Padang Kriket dan Ragbi di Petra Jaya serta Pusat Wushu dijadual siap tahun hadapan,” kata Abang Johari.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut memaklumkan sejumlah RM2 juta diperuntuk bagi program pembangunan belia dan sukan, dan pembangunan usahawan. — DayakDaily