Bajet RM80 juta untuk program kebajikan TBS

Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie (tengah) bersama anak golongan asnaf yang menerima barangan persekolahan di Program Baitulmal Bersama Asnaf-Back To School, di Majma Mall, Jalan P. Ramlee, di sini, hari ini.
Advertisement

KUCHING, 1 Jan: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bakal membelanjakan sebanyak RM80 juta bagi menjalankan program membantu golongan asnaf di seluruh negeri ini sepanjang tahun ini.

Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata demikian dengan dianggarkan lebih 3,000 orang golongan asnaf atau fakir miskin seluruh negeri ini yang terbabit dalam program tahun ini.

“Peruntukan program terbabit akan mencecah RM80 juta tahun ini, meningkat sebanyak RM5 juta berbanding peruntukan itu yang sebanyak RM75 juta tahun lepas,” katanya selepas menyampaikan bantuan barangan persekolah dalam Program Baitulmal Bersama Asnaf-Back To School, di Majma Mall, Jalan P. Ramlee, di sini, hari ini.

Advertisement

Abang Mohd Shibli berkata terdapat tiga program utama TBS bagi membantu golongan asnaf iaitu bantuan pendidikan, bantuan kebajikan dan bantuan institusi Islam dengan TBS juga sentiasa memastikan setiap penerima program bantuan itu adalah golongan asnaf yang memang benar layak.

“Kita berhati-hati dalam hal ini, kerana kita hanya mahu membantu orang yang benar berhak mendapat bantuan (program) iaitu mereka dalam kategori fakir yang lebih susah berbanding kategori miskin,”katanya.

Beliau ini kerana peruntukan RM80 juta terbabit adalah dari kutipan zakat dari umat Islam seluruh Sarawak yang mencecah sebanyak RM90 juta tahun lepas dan pihaknya mensasarkan kutipan itu akan mencecah RM100 juta tahun ini.

“Jadi kita (TBS) menyeru umat Islam yg cukup syarat bagi bayar zakat untuk bayarnya kerana makin besar (zakat) kita kutip maka makin besar peruntukan dapat kita agih semula (kepada golongan asnaf)”katanya.

Disamping itu, beliau mendedahkan dalam tempoh lima tahun lepas, pihaknya mendapati terdapat peningkatan sebanyak lima sehingga 10 peratus setiap tahun terhadap jumlah zakat dari umat Islam yang berjaya dikutip TBS.

Shibli berkata bagi meningkatkan kutipan terbabit dan memudahkan umat Islam di negeri ini membayar zakat kepada TBS, pihaknya memulakan kaedah pembayaran itu secara atas talian hari ini dan mengalakkan lebih ramai membayarnya mengunakan kaedah itu selain melalui pemotongan gaji. —DayakDaily

Advertisement