KUCHING, 26 Julai: Bajet 2022 akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada Pembentangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sidang Khas Parlimen hari ini, beliau berkata tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Ia seperti sektor pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi norma baharu global,” katanya.
Menurut Muhyiddin, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra-Bajet.
Tambah beliau, ini termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada bulan Ogos selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan Bajet tahunan.
Pada sidang khas itu, Muhyiddin berkata PPN merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial secara teratur dan berperingkat.
Katanya, sebuah Portal PPN dibangunkan sebagai pusat rujukan sehenti yang memaparkan indikator-indikator terkini serta maklumat berkaitan, manfaat dan juga SOP terkini, dengan cara yang lebih mesra pengguna.
Beliau turut berkata bahawa Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah ditubuhkan untuk memastikan PPN berjalan seperti dirancang dan dipantau dengan teliti.
“MPN melibatkan penyertaan wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri, NGO dan wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan juga menjemput tiga wakil pembangkang untuk menganggotai MPN, iaitu masing-masing seorang dari parti Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang untuk berkongsi pandangan dan nasihat dalam pelbagai aspek pelan pemulihan,” katanya.
Menurut Muhyiddin lagi, kesinambungan PPN dan langkah-langkah pemulihan ekonomi lain akan diperincikan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 pada 20 September ini, manakala Bajet 2022 akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober ini. — DayakDaily