Awang Tengah serah sumbangan Aidilfitri Limbang


LIMBANG: 15 Mei: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam menyampaikan sumbangan Hari Raya pada majlis yang dianjurkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL).

Pada majlis tersebut, sumbangan telah disampaikan kepada wakil-wakil yang terdiri daripada imam dan bilal dari daerah Limbang, anak yatim, ibu tunggal dan ahli LAKIL.

Menurut Awang Tengah, sumbangan kepada pegawai masjid seperti imam dan bilal tersebut merupakan satu penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam menegakkan syiar dan ajaran Islam.


“Dalam kita menghadapi wabak Covid-19 ini, saya ingin menyeru kepada anda semua supaya kita sama sama memainkan peranan bersama agensi-agensi kerajaan lain dalam menghadapi wabak Covid-19,” kata Awang Tengah pada majlis tersebut.

Beliau berkata, keadaan semasa telah memberikan sedikit kelainan pada majlis kali ini yang hanya menyaksikan wakil-wakil sahaja menerima bantuan untuk diedarkan.

“Inilah pengorbanan yang terpaksa kita lakukan atas arahan PKP. Di samping itu juga jagalah penjarakan sosial dan kebersihan semoga kita akan berjaya mengatasi wabak ini,”  tambah beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Paulus Palu Ngumbang. – DayakDaily