Awang Tengah: Sarawak dan negara Brunei terus rapatkan hubungan semasa pandemik Covid-19

Awang Tengah (dua dari kiri) menyerahkan surat tanah di bawah Seksyen 18 KTN kepada salah seorang penerima.
Advertisement

KUCHING, 6 April: Malaysia khususnya Sarawak memiliki perhubungan yang begitu rapat dengan negara Brunei, tegas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Jelas beliau, semasa pandemik Covid-19 ini, Sarawak dan Brunei terus mengeratkan kerjasama itu dengan memudahkan pergerakan rentas sempadan.

“Misalnya untuk membawa pesakit-pesakit dari Limbang terus ke Miri, dia (Brunei) membenarkan.

Advertisement

“Dan sekarang pun, kenderaan perdagangan yang membawa barangan, bahan binaan dan makanan dibenarkan melalui Brunei terus ke Limbang dan Lawas,” katanya.

Awang Tengah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Tanah Di Bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di Kampung Buntal Lama di sini, hari ini.

Tambah beliau, banyak lagi bidang akan dibincangkan antara Sarawak dan Brunei khususnya dalam meningkatkan kerjasama ekonomi dan telekomunikasi.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata bahawa beliau dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sepatutnya mengikuti lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Brunei pada Isnin (April 5).

Namun katanya, disebabkan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) kerajaan Brunei, beliau dan Abang Johari tidak dapat mengikuti. — DayakDaily

Advertisement