Awang Tengah: Jangan takut ambil suntikan vaksin Covid-19

Awang Tengah (kiri) menyampaikan Lesen Penduduk Sementara kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 2 Mac: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyeru semua rakyat untuk mendaftar bagi mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera selain menggesa jabatan kerajaan, ketua kampung dan ketua masyarakat untuk membantu.

“Saya telah menerima suntikan vaksin Covid-19. Petugas barisan hadapan akan mendapat vaksin dalam fasa pertama ini. Manakala Limbang dan Lawas akan menerima vaksin pada 6 dan 7 Mac ini.


“Saya menyeru kepada semua untuk mendaftar dan mengambil suntikan vaksin ini dan jangan takut.

“Kita jaga diri kita, keluarga dan semua. Jangan lepaskan peluang ini dan kerajaan menanggung semua,” katanya pada Majlis Penyampaian Lesen Penduduk Sementara (TOL) dan Cek Pampasan Tanah di bangunan lama Pejabat Daerah Lawas semalam.

Pada majlis itu, beliau yang juga ADUN Bukit Sari turut merasmikan Pejabat Tanah dan Survei Cawangan Lawas.

Sejumlah 18 cek pampasan telah diserahkan kepada 18 penerima bagi pelaksanaan projek jalanraya dari Kampung Punang ke Sungai Bangat.

“Tanaman juga kita akan beri pampasan berdasarkan kepada kadar baharu semasa dan begitu juga dengan tanah-tanah tersebut.

“Ia bergantung kepada lokasi kawasan tersebut untuk nilai tanah itu serta keluasan tanah,” jelas beliau.

Berhubung TOL, Awang Tengah mahukan ia digunakan dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa projek skim penempatan semula dan skim pembesaran kampung di kawasan itu akan diteruskan. — DayakDaily