Awang Tengah hadir ‘Drive Thru’ Ramadan RTM

Awang Tengah mengagihkan pek makanan kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 5 Mei: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini menghadiri program ‘Drive Thru’ Ramadan RTM di perkarangan RTM Kuching.

Majlis tersebut menyaksikan lebih dari 4,000 pek makanan seperti bubur lambuk, bubur pedas dan lain lain diedar kepada orang awam.

Awang Tengah dalam ucapannya pada majlis tersebut memuji inisiatif RTM dalam mengadakan program tersebut.

“Program sebegini bersesuaian dengan semangat bulan Ramadan yang mulia ini dan dapat mengeratkan silaturrahim warga RTM bersama orang ramai,” kata beliau.

Awang Tengah turut menyeru RTM agar terus berinovasi dan kekal relevan di samping terus menyiarkan informasi terkini dan tepat kepada penonton.


Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan geran sebanyak RM10,000 kepada kelab rekreasi RTM untuk program tahunan mereka.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais dan Pengarah Penyiaran Abdull Hadi Mohd Yusuff. — DayakDaily