ATM patahkan cubaan seludup barang dan makanan di Serikin

pemeriksaan dilakukan ke atas muatan yang dibawa lori-lori tersebut

Oleh Juetila Ozzy

BAU, 19 Jan: Cubaan dua lelaki menyeludup pelbagai jenis barangan keperluan harian dan makanan ke Indonesia berjaya dipatahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Serikin, di sini pada malam Isnin.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berkata semasa kejadian pihaknya menjalankan operasi ‘Op Benteng’ iaitu kira-kira 500 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.


Katanya, pasukan operasi berjaya menahan dua buah lori yang ketika itu dipandu laju bergerak menuju sempadan sekitar jam 11 malam.

“Semasa ditahan, didapati dua Lori tersebut dipandu oleh dua lelaki tempatan dan semasa disoal siasat, mereka menyatakan lori tersebut hendak dibawa ke sempadan Malaysia-Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati ia membawa muatan pelbagai keperluan harian serta makanan.

“Kedua-dua lori dan barang-barang tersebut yang dianggarkan bernilai RM162,480 keseluruhannya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Suspek ditahan kerana disyaki cuba menyeludup keluar barang ke Indonesia

Rentetan kejayaan tersebut juga, pasukan operasi berjaya menahan dua lagi lelaki tempatan menaiki sebuah motosikal kira-kira 20 minit kemudian.

“Semasa disoal siasat, dua individu terbabit menyatakan mereka ingin ke Indonesia untuk menghantar duit kepada ahli keluarga yang berada di rumah sakit Bengkayang, Indonesia.

“Bagaimanapun, mereka disyaki merupakan ahli kumpulan yang sama dengan pemandu lori,” katanya.

Kesemua mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

“Tentera Darat Malaysia melalui 1 Divisyen komited meneruskan inisiatif OP BENTENG dalam menghindar kegiatan jenayah rentas sempadan serta aktiviti menyelinap masuk ke Sarawak” katanya. — DayakDaily