ATM gagalkan usaha tiga Pati cuba masuki Sarawak

Kelihatan tiga Pati yang ditahan ketika cuba memasuki Sarawak menerusi lorong tikus di sektor Kendaie, Lundu.
Advertisement

KUCHING, 8 Dis: Tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia diusir kembali ke negara asal mereka selepas didapati cuba memasuki Sarawak secara haram.

Menurut Markas Divisyen Pertama Infantri dalam satu kenyataan, Pati berkenaan yang berasal dari Semunying, Kalimantan Barat, Indonesia ditahan sekitar jam 10.20 malam tadi ketika cuba memasuki negeri ini menerusi sempadan Malaysia-Indonesia dekat Lundu.

“Kesemua tiga Pati ini dikesan oleh anggota ATM yang melakukan rondaan rutin keselamatan sempadan dalam Ops Benteng di lorong-lorong tikus di sektor Kendaie berjaya mengesan Pati ini yabg berusaha untuk memasuki Sarawak.

Advertisement

“Setelah ditahan dan diperiksa, didapati mereka yang berasal dari Semunying ini ingin ke Lundu untuk bekerja.

Tindakan usir ke negara asal mereka dilakukan terhadap kesemua Pati terbabit bagi mengelakkan berlaku penularan Covid-19 di pusat tahan sementara.

“Kesemua Pati ini telah kita iring dan usir keluar dari Sarawak setelah satu laporan polis berkenaan penahanan mereka dibuat di Balai Polis Lundu,” jelas kenyataan itu. — DayakDaily

Advertisement