Atlet Sukma Sarawak mula jalani latihan di rumah bermula esok

Dr Ong Kong Swee

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, Mac 17: Semua atlet Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak diarahkan untuk menjalani latihan di rumah bermula esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee sambil menambah langkah itu bagi mengelak atlet terkena jangkitan wabak Covid-19 yang sedang menular di seluruh negara ketika ini.

“Mereka berlatih seperti biasa di sini namun kerana arahan ‘lockdown’, kita akan mengadakan ‘home training’ di mana jurulatih sukan telah dinasihat untuk menyediakan latihan di rumah setiap hari kepada atlet.

“Atlet juga dinasihat sentiasa menjaga pemakanan dan memberi lebih penekanan terhadap aspek kekuatan dan suaian fizikal untuk mengekalkan tahap kecergasan mereka,” ujar Ong ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) memberitahu semua atlet yang menjalani latihan di luar negara juga telah dipanggil pulang.

Tambahnya, atlet akan kembali menjalani latihan seperti biasa jika keadaan bertambah baik selepas Mac 31 ini.

Sebagai rekod, Sarawak merancang menghantar seramai 837 atlet dan pegawai pada temasya Sukma ke-20 di Johor dari Julai 11 hingga 19.

Kontinjen negeri akan mengambil bahagian dalam semua 32 acara yang dipertandingkan membabitkan 17 sukan wajib dan 15 sukan pilihan.

Mengikut perancangan awal, kem atlet akan diadakan pada Mac 21 hingga 25 ini di Kem Belia Pueh, Sematan.

Manakala aktiviti terakhir iaitu Kem Kontinjen Sukma 2020 dijadualkan untuk Jun 16 sehingga 18 di Kuching sebelum bertolak ke Johor Bahru. — DayakDaily