KUCHING, 6 Julai: Atlet Golongan Kurang Upaya (OKU) harus diberi perhatian yang sewajarnya terutama dari aspek kebajikan yang merangkumi elaun, tempat tinggal dan pemakanan.
Atlet para renang kebangsaan, Julius Jaranding, 33, menuntut pihak yang bertanggungjawab supaya memberi perhatian yang sewajarnya kepada beliau bagi menghadapi kejohanan Para Renang Dunia di London yang dijadual bermula September depan.
Menurutnya, pekara tersebut sudah diluahkan melalui surat bertarikh 25 Jun, 2019, yang dihantar kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, namun sehingga sekarang isu elaun yang dituntut beliau masih belum terjawab.
Julius berkata mengikut perjanjian dengan pihak Podium Institut Sukan Negara (ISN) sebelum ini, tawaran kepada beliau masih sah dan sepatutnya menerima elaun bermula 1 Januari, 2018, sehingga 31 Disember, 2019.
“Bayaran tidak masuk akal. Saya merasakan seolah-olah berlaku ketidakadilan dari segi elaun latihan di sini (Kuching).
“Mungkin MSN (Majlis Sukan Negara) beranggapan saya menjalani latihan separuh masa di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Julius berkata beliau juga membuat tuntutan dari segi elaun kepada pihak bertanggungjawap kerana merasakan tawaran elaun yang diberikan oleh pihak MSN sekarang tidak masuk akal.
Menurutnya, elaun yang diterima hanya RM500 sebulan jika dibanding dengan atlet para yang lain.
“Berbeza dengan rakan saya (Jameri Siga) yang menjalani latihan di Sabah, mereka diberi elaun sebanyak RM4,500 sebulan.
“Sehingga sekarang saya belum menandatangani surat tawaran latihan yang diberikan oleh pihak MSN disebabkan saya tidak bersetuju dengan kadar bayaran yang berbeza-beza.
“Sebagai atlet senior (OKU Penglihatan) yang telah banyak mengharumkan nama negara, saya merasa sangat kecewa seolah-olah kebajikan tidak diambil peduli,” katanya.
Julius mengakui telah gagal menyumbang pingat pada kejohanan Sukan Asean di Jakarta tahun lepas, namun dari segi prestasi, beliau berpendapat dia telah memberi sumbangan yang cemerlang apabila melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di London.
“Segelintir atlet para diberi elaun yang lebih tinggi walaupun tidak melayakkan diri menyertai kejohanan dunia. Disini saya merasakan tidak adil, jika prestasi saya tidak baik sudah pasti saya tidak dapat mengikuti program Podium ISN,” katanya.
Beliau juga berkata bayaran elaun yang sepatutnya diterima oleh atlet yang terpilih ke Program Podium ISN sebelum ini ialah RM6,000 sebulan.
Julius mendakwa pihak MSN telah mengeluarkan dua surat tawaran yang berbeza jumlah bayaran latihan. Tawaran pertama menyatakan jumlah elaun berjumlah RM2,000 dan tawaran kedua pula RM500.
“Menurut keputusan mesyuarat MSN yang diberitahu melalui pegawai yang menghubungi saya, mereka telah bersetuju membayar elaun latihan sebanyak RM4,500. Oleh itu, saya tidak menandatangani surat tawaran yang kedua yang mempunyai nilai RM500.
“Bagaimanapun surat tawaran yang pertama untuk melayakkan saya menerima elaun RM2,000, saya perlu menjalani latihan di Kampung Pandan di Kuala Lumpur.
“Saya tidak bersetuju berlatih di sana kerana mahu dekat dengan keluarga. Tambahan pula kedua orang tua saya tiada penjaga,” kata beliau, sambil memberitahu bahawa kedua ibubapanya telah terlibat dalam kemalangan pada 16 Jun lepas.
Julius berharap elaun RM6,000 dibawah Program Podium ISN akan dibayar kepadanya sehingga Disember ini berdasarkan surat tawaran yang sedia ada dan masih sah untuk tindakan.
Atlet para renang tersebut, yang mengalami masalah penglihatan sejak berumur 9 tahun, mula terlibat dengan dalam bidang sukan renang pada Kejohanan Paralimpik 2000.
Beliau sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berumur 1 tahun. — DayakDaily