Atap 2 rumah diterbangkan angin ribut

Kelihatan kesan atap rumah yang diterbangkan angin ribut.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Mac 6: Seramai tujuh penghuni Rumah Panjang Achang Skirau di sini berdepan detik mencemaskan apabila atap rumah mereka diterbangkan oleh angin ribut, petang semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.


Pegawai Pertahanan APM Sri Aman, Siti Huzaimah Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.55 petang.

Katanya, sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, sepasukan anggota APM bergegas ke lokasi untuk melakukan operasi susulan.

“Apabila tiba, pasukan APM mendapati terdapat dua daripada 17 buah rumah terjejas akibat atap di bahagian ruang tamu telah diterbangkan oleh angin ribut,” katanya di sini hari ini.

Siti Huzaimah menambah, pemeriksaan mendapati penghuni terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan semasa kejadian itu.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6 petang,” katanya. — DayakDaily