KUCHING, 8 Nov: Tempoh waktu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kekal seperti tempoh waktu persidangan sebelum ini, kata Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Bagimanapun katanya jumlah hari untuk persidangan tersebut dipendekkan kepada lima berbanding lapan hari seperti kebiasaannya.
“Masa untuk untuk setiap ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk memberikan ucapan juga kekal seperti sebelumnya dan tidak ada perubahan.
“Kita berbeza dengan persidangan parlimen kerana parlimen hanya bersidang pada sebelah pagi manakala kita akan bersidang pada sebelah pagi dan petang dan mungkin akan melangkaui jam 6.30 petang bergantung kepada berapa banyak usul yang akan dibahaskan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pra-DUN di ibuperjabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini hari ini.
Katanya, jika sebelum ini setiap ADUN diberikan masa 20 minit untuk berucap pada hari pertama persidangan dan 15 minit pada hari kedua, peraturan sama akan digunapakai pada persidangang kali ini.
“Tiada pemendekkan masa untuk ADUN berucap kerana belanjawan negeri yang akan dibentangkan adalah penting kepada Sarawak.
“Kita mahu jumlah maksimum ADUN yang turut serta dalam perbahasan perbekalan itu nanti,” katanya.
Asfia berkata, persidangan kali akan berlansung selama lima hari bermula esok (Isnin, 9 November) hingga jumaat (13 November).
“Sebanyak 47 laporan tahunan, Penyata kewangan dan hansard serta enam kertas arahan diserahkan kepada Setiausaha DUN sarawak sehinga semalam,” katanya. — DayakDaily