Artis-artis Iban digalakkan menyertai persatuan PASIMA

Datuk Snowdan Lawan (kanan) menyampaikan geran MRP sebanyak RM5,000 kepada ahli PASIMA, Ella Michael ( dua dari kiri) sambil disaksikan Isa Lee (kiri) di di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, kelmarin (12 Jun).

KUCHING, 13 Jun: Semua anak seni kaum Iban termasuk artis nyanyian dan pemuzik digalakkan menyertai Persatuan Anak Seni Iban Malaysia (PASIMA) bagi masalah mereka dibantu dibawa persatuan itu kepada kerajaan ketika Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan (PKPP) ini.

Setiausaha PASIMA, Isa Lee berkata demikian berikutan pihaknya menyedari ramai anak seni kaum Iban terutama artis nyanyian dan pemuzik menghadapi masalah terjejas pendapatan kerana tidak dapat membuat persembahan di khalayak ramai akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) sebelum ini dan sehinggalah PKPP ketika ini.

“Maka saya mengalakkan anak seni kaum Iban terbabit menyertai PASIMA, supaya kita dapat sama membawa perkara ini kepada pihak kerajaan, inilah gunanya persatuan selain kita melawan kegiatan cetak rompak,” katanya kepada DayakDaily kelmarin.


Isa Lee berkata persatuan terbabit yang diketuai Presidennya Mervyn Tajem telah dilancarkan di Kota Samarahan pada 26 November 2019 dan ketika ini sudah ada seramai 50 ahli.

“Pelancaran PASIMA ketika itu telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong yang mewakili Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan,”katanya.

Beliau berkata ketika ini ada anak seni Iban menjalankan pelbagai aktiviti lain bagi menggantikan pendapatan dari membuat persembahan samada membuat lagu dan lirik muzik atau terbabit perniagaan secara kecilan.

Selain itu, beliau juga mendedahkan Datuk Snowdan Lawan telah menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 dijanjikannya ketika pelancaran persatuan terbabit di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, hari ini.

Isa berkata geran itu adalah bagi membantu PASIMA menjalankan aktivitinya tahun ini yang tergendala akibat penularan Covid-19 dan Datuk Snowdan Lawan turut menasihatkan persatuan itu mengunakan geran terbabit dengan baik dan telus kepada ahli.—DayakDaily