Arab Saudi puji sistem dan dasar pembinaan Malaysia – Nanta

Nanta (tiga kiri) menerima delegasi Arab Saudi yang diketuai Dr Majid (empat kanan).

KUCHING, 7 Mei: Menteri Perdagangan dan Pengerusi Pusat Daya Saing Arab Saudi Dr Majid Al-Qasabi dengan terbuka memuji sistem dan dasar Malaysia dalam pembinaan.

Menurut Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ia terutama dalam hal infrastruktur, penswastaan lebuh raya, fasiliti termasuk perumahan.

“Dalam hal ini, saya berasa amat teruja dengan sikap keterbukaan delegasi Arab Saudi untuk mendapatkan kepakaran dari Malaysia.


“Sememangnya hasrat ini akan membuka peluang yang luas kepada pemain industri pembinaan tempatan untuk menceburi dan memperluaskan sayap mereka ke arena antarabangsa di samping mempertingkatkan daya saing mereka dengan industri luar negara.

“Inilah peluang keemasan yang harus direbut,” kata Nanta dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas berhubung Mesyuarat Dua Hala antara Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Kementerian Perdagangan Arab Saudi yang diadakan di Kuala Lumpur pada hari ini.

Jelas Nanta, mesyuarat menyaksikan satu permulaan yang sangat memberangsangkan dalam jalinan hubungan kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi dalam sektor pembinaan dan pengurusan fasiliti.

Katanya, mesyuarat juga dilihat sangat relevan dan bertepatan pada masanya sebagai satu tindakan susulan daripada perjumpaan dengan Timbalan Menteri Pengangkutan Arab Saudi Badr Abdullah Al-Dulami semasa Kongres Jalan Sedunia (WRC) di Prague pada bulan Oktober 2023. ā€” DayakDaily