APMM Sarawak tahan dua vesel nelayan Vietnam, nilai sitaan cecah RM2 juta

Kelihatan dua vesel nelayan Vietnam (kanan dan tengah) yang ditahan APMM Sarawak.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mei 14: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berjaya menahan dua vesel nelayan Vietnam, Sabtu lalu.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Sarawak, Komander Maritim Hamiludin Che Awang berkata, kedua-dua vesel tersebut ditahan di kedudukan kira-kira 80 batu nautika utara dari Kuching pada pukul 5 petang.

Katanya, menerusi penahanan itu, APMM Sarawak telah menahan seramai 29 warga Vietnam berusia antara 20 hingga 50 tahun yang merupakan kru dan tekong vesel berkenaan.

“Susulan kejayan tersebut, kita telah merampas dua vesel termasuk ikan serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk menangkap ikan.

“Keseluruhan rampasan tersebut dianggarkan mencecah RM2 juta, manakala kru serta tekong vesel berkenaan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Mengulas lanjut, Hamiludin memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985. —DayakDaily