APMM Sarawak dijangka terima kapal KM Tun Fatimah pertengahan tahun ini

Zin Azman (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada anggota dan pegawai Maritim Malaysia yang bertugas di Kapal KM Semilang.
Advertisement

KUCHING, 6 Jan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Sarawak dijangka akan menerima satu lagi kapal ronda luar pesisir (OPV) pada pertengahan tahun ini bagi memperkasakan aset agensi itu di Sarawak.

Pengarah Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim, Zin Azman Md Yunus berkata, kapal tersebut yang akan diletakkan di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Sallahuddin (Komtas) di sini akan memfokuskan kepada penugasan di kawasan Beting Patinggi Ali (BPA).

Katanya, penularan wabak Covid-19 menyebabkan tempoh penyerahan kapal tersebut sedikit lewat dilakukan memandangkan kebanyakan kepakaran yang digunakan untuk membangun kapal terbabit berasal daripada luar negara.

Advertisement

“Tenaga kepakaran ini daripada luar negara dan disebabkan oleh Covid-19 jadi mereka belum memperoleh kebenaran untuk memasuki negara kita, jadi itu yang melewatkan proses untuk menyiapkan kapal itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perpindahan Kapal KM Semilang di sini hari ini.

Beliau berkata, kapal tersebut yang dinamakan KM Tun Fatimah tersebut berukuran 83 meter x 13.7 meter merupakan kapal peronda luar pesisir (OPV) pertama diterima Sarawak selepas dua Kapal Ronda Generasi Baharu (NGPC) iaitu KM Sri Aman dan KM Kota Kinabalu.

Katanya, kapal tersebut mampu beroperasi sehingga tempoh sebulan di perairan negara tanpa perlu ulang bekal dan berupaya melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan diluar jangkauan kapal-kapal kecil.

“Kita perlu aset yang kompeten terutamanya pada musim tengkujuh ini dengan ombak yang besar dan tinggi pastinya kita memerlukan kapal yang lebih besar untuk beroperasi khususnya di kawasan BPA sekaligus memastikan kedaulatan kawasan itu milik Malaysia,” katanya.

KM Semilang

Sementara itu Zin Azman berkata, sepanjang tahun lalu sehingga semalam, sebanyak 11 bot nelayan asing dengan 97 awak-awak berjaya ditahan melibatkan nilai rampasan bernilai RM10 juta.

“Nelayan asing ini kita tahan dalam operasi Ops Naga Timur yang dilancarkan pada Julai 2019 yang bertujuan memerangi pencerobohan nelayan asing.

“Menerusi Ops Kuda Laut yang dilancarkan serentak pada 24 Jun tahun lalu, Maritim Sarawak merekodkan 11 tangkapan ke atas bot nelayan asing Vietnam dan telah mengusir sebanyak 21 buah bot nelayan asing.”

Tambah beliau, tindakan pengusiran dilakukan sebelum ini bagi selaras dengan arahan kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung penularan Covid-19 di pusat-pusat tahan sementara dan penjara.

Bagaimanapun, beliau berkata, bermula 10 Disember lalu tindakan tangkapan terhadap mana-mana bot nelayan asing yang memasuki perairan negara secara haram akan dikuatkuasakan serta merta.

“Setiap tangkapan yang kita akan lakukan akan mengikuti Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) dalam pencegahan penularan wabak Covid-19 dan setiap nelayan yang ditahan akan melalui semua prosedur yang ditetapkan oleh kementerian Kesihatan dalam aspek pencegahan penularan wabak tersebut,” katanya,

Mengulas mengenai perpindahan Kapal KM Semilang dari Jeti Komtas ke Zon Maritim Tanjung Manis, Zin Azman berkata, kapal tersebut akan membantu dalam memperkasakan aset di zon maritim berkenaan.

Katanya pada ketika ini, Zon Maritim Tanjung Manis hanya memiliki satu bot peronda iaitu Bot Pengawal 22.

“Penempatan kapal KM Semilang ini di Zon Maritim Tanjung Manis akan dapat membantu dalam melancarkan lagi tugas-tugas operasi seperti pemantauan kawasan perairan negara dan carilamat di zon maritim berkenaan.

“Pada masa sama ia memberi gambaran dan amaran kepada bot-bot nelayan atau kapal-kapal yang berada di perairan kita untuk tidak melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang maritim negara,” katanya. — DayakDaily

Advertisement