BINTULU, 16 Mei: Bertindak atas maklumat awam dan risikan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu telah melakukan rondaan di sekitar kawasan pantai Samalaju, Bintulu bagi mengesan dan mengekang aktiviti penyeludupan barangan bercukai.
Operasi tersebut membuahkan hasil apabila anggota APMM Zon Maritim Bintulu berjaya mengesan dan merampas 15 buah peti rokok putih pelbagai jenama dan 95 karton minuman keras.
Pengarah APMM Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, rampasan tersebut dilakukan pada kira-kira pukul 8 malam.
“Bagaimanapun, dipercayai lima orang suspek yang sedang melakukan aktiviti pemunggahan barangan tersebut berjaya meloloskan diri dengan menggunakan dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda.
“Cuaca dan keadaan laut yang bergelora menyukarkan pasukan Maritim Malaysia untuk merapat ke pantai dengan cepat dan melakukan tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM45,250 tidak termasuk cukai.
Barangan tersebut dibawa ke pejabat APMM Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana melakukan aktiviti penyeludupan. ā DayakDaily