APMM lancar SAR kesan penyelam dipercayai hilang dekat Pulau Satang

Anggota APMM menandakan lokasi pencarian seorang mangsa yang dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti selaman rekreasi dekat Pulau Satang.
Advertisement

KUCHING, 18 April: Seorang penyelam dikhuatiri hilang di laut ketika melakukan aktiviti selaman rekreasi kira-kira 23 batu nautika dari Pulau Satang semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Kepten Maritim Yousry Yaali berkata, semasa kejadian, terdapat enam penyelam yang menyertai aktiviti tersebut termasuk penyelam yang hilang.

Katanya, kehilangan penyelam itu, 31, disedari rakan penyelam yang lain selepas dia tidak timbul di permukaan air selama lebih kurang satu jam 20 minit.

Advertisement

“Penyelam yang disyaki hilang wanita warga tempatan dan pengadu yang merupakan adik mangsa memaklumkan kehilangan mangsa disedari apabila dia tidak timbul dipermukaan air selama lebih sejam.

“Pengadu bersama rakan penyelam yang lain kemudian cuba mencari mangsa di sekitar posisi tempat mangsa dipercayai hilang namum demikian tiada sebarang petunjuk ditemui,” katanya pada sidang media di Jeti Awam Kampung Telaga Air di sini hari ini.

Beliau berkata, pengadu turut memaklum dua rakannya yang turut serta mencari mangsa ada mendengar bunyi wisel dari dalam laut namun tidak dapat mengesan arah bunyi wisel tersebut.

Katanya, operasi carilamat yang disambung pada jam 8.00 pagi tadi dibahagi kepada dua sektor yang meliputi keluasan kira 437 batu nautika persegi.

“Operasi carilamat hari ini memfokuskan pencarian dengan radius dua batu nautika dari posisi terakhir mangsa dipercayai hilang ketika membuat selaman,” katanya.

Sementara itu, ASP Operasi/Risik Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak Asisten Superitenden Wan Sazaly Jaafar berkata, menurut saksi, mangsa tersebut melakukan selaman kedua secara bersendiran selepas melakukan aktiviti selaman pertama bersama dengan rakannya yang lain.

“Sebelum itu mangsa turut melakukan selaman juga tapi untuk selaman terakhir itu dia (mangsa) melakukannya secara bersendirian.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima, penyelam-penyelam ini adalah dikalangan mereka yang memiliki sijil dan mempunyai kemahiran dan salah seorang daripada mereka mempunyai kelayakan lanjutan (‘Advance’) atau mahir,” katanya.

Menurut Wan Sazaly, ketika kejadian kedalaman kawasan tersebut adalah dalam lingkungan 21 hingga 25 meter.

Kedalaman tersebut, ujar beliau, merupakan jarak biasa yang dilakukan bagi aktiviti selaman rekreasi di kawasan terbabit. — DayakDaily

Advertisement