APM Sibu tangkap ular sawa sesat dalam parit

Anggota APM menunjukkan ular sawa yang ditangkap.

SIBU, Jan 25: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap seekor ular sawa sepanjang kira-kira 4.5 meter di sebuah kawasan perumahan di Taman Indah di sini hari ini.

Pegawai APM Sibu, Bujang Kedri berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam di perumahan itu berhubung penemuan reptilia berkenaan kira-kira pukul 8.53 pagi.

Katanya, selepas menerima panggilan itu, sepasukan anggota APM Sibu bergegas ke lokasi yang dinyatakan oleh pengadu.

“Sebaik tiba di lokasi kira-kira 30 minit kemudian, pasukan bomba mendapati ular sawa itu masih berlingkar di dalam sebuah parit di tepi rumah pengadu.

“Anggota APM kemudian melakukan kerja-kerja menangkap ular itu dengan menggunakan peralatan khas.

“Namun ular seberat kira-kira 15 kilogram itu tidak bertindak agresif dan mereka mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap reptilia tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Bujang memberitahu, ular sawa itu dipercayai sesat dari kawasan hutan berhampiran dan terperangkap di dalam parit.

“Ular itu kemudian dibawa balik ke pejabat APM Sibu sebelum diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily