APM Sarawak siap siaga hadapi monsun timur laut, 1,200 anggota bersedia

Aset APM Sarawak hadapi monsun timur laut.

KUCHING, Okt 4: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Sarawak telah  memperkukuhkan tugas dan peranan pegawai serta anggota di Pusat Pemindahan Banjir bagi persediaan monsun timur laut yang dijangka bermula November sehingga Mac.

Timbalan Pengarah APM Sarawak, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata APM Sarawak telah bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana khususnya banjir dengan mempersiapkan seramai 1,210 pegawai dan anggotanya.

Jelasnya, 300 pegawai dan anggota akan digerakkan 4 jam pertama dan 600 pegawai dan anggota pula dalam tempoh 24 jam dan seterusnya.


Aset APM Sarawak hadapi monsun timur laut.

Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat tugas dan peranan APM Sarawak kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat seluruh Sarawak semasa Kursus Pengurusan Bencana, di sini, hari ini.

Cuthbert menambah, APM juga telah mempersiapkan aset dan logistik sebanyak lima unit dron, 17 buah lori, 19 kenderaan pacuan empat roda dan 13 buah ambulans.

Katanya, pada monsun timur laut kali ini, bilangan bot untuk APM telah ditambahkan sebanyak 23 buah, menjadikannya sebanyak 69 buah jika dibandingkan musim monsun timur laut lepas, iaitu sebanyak 46 buah sahaja.

“Kesiapsiagaan pengoperasian tugas APM sebagai agensi penyelamat sebelum, semasa dan selepas sesuatu bencana.

“Selain itu, APM juga telah dilantik sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri, bahagian dan daerah pada 12 November, 2015, hingga kini,” katanya. — DayakDaily