MIRI, Jun 29: Seorang pemotong rumput yang sedang memotong rumput di tepi Sungai Teniku, Piasau di sini terkejut apabila menemui seekor buaya di dalam sebuah parit di situ, hari ini.
Panik dengan penemuan reptilia sepanjang kira-kira 2 meter itu, pemotong rumput tersebut kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri untuk menangkap buaya sesat itu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan haiwan itu pada pukul 3.41 petang.
Jelasnya, sepasukan tujuh anggota APM kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menangkap buaya tersebut.
“Apabila tiba di lokasi penemuan buaya itu pada pukul 4.20pm, anggota APM mendapati terdapat seekor buaya dipercayai tersesat berada di dalam parit di situ.
“Pasukan APM kemudian mengambil peralatan seperti penjerut dan tali untuk menangkap sang bedal itu,” katanya di sini hari ini.
Mohd Hazle menambah, pasukan APM yang turut disertai seorang anggota wanita mengambil masa kira-kira sejam untuk menangkap sang bedal berkenaan.
Katanya, ini kerana pada mulanya reptilia yang seberat kira-kira 100 kilogram (kg) itu bertindak agresif.
“Pasukan kita terpaksa mengambil langkah berhati-hati semasa mengikat kaki dan bahagian rahang buaya terbabit untuk memastikan keselamatan anggota APM terjamin.
“Akhirnya, berkat kesabaran dan kegigihan pasukan APM berjaya menumpaskan sang bedal itu dan membawa haiwan itu naik ke darat,” ujarnya lagi.
Tambahnya, sang bedal itu kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Miri.
“Reptilia ini akan diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. — DayakDaily