Aplikasi pintar Gago Instant Job dilancar hari ini

Naroden (kanan) melancarkan aplikasi pintar Gago Instant Job di Kuching hari ini (Mei 29, 2019).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 29: Aplikasi pintar Gago Instant Job dilancar hari ini di Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Muda e-Dagang yang juga Menteri Muda Keusahawan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais.

Advertisement

Aplikasi Gago merupakan platform aplikasi telefon pintar yang mengumpul data-data penyedia perkhidmatan dan menghubungkan terus kepada pelanggan semudah satu klik dengan kaedah e-hailing.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan berharap orang ramai terutamanya golongan belia yang masih mencari peluang perkerjaan serta mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam pelbagai bidang agar mendaftar dalam aplikasi pintar Gago Instant Job.

“Diharap agar dengan adanya aplikasi ini, masyarakat dapat menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan.

“Selain itu diharapkan penghasilan aplikasi seperti ini dapat memperkaya, membangun serta menyemai budaya e-dagang dan usahawan dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan tersebut.

Di antara faedah aplikasi ialah menyediakan penyelesaian kepada masalah pekerjaan dan perkhidmatan di dalam masyarakat, sekaligus mengurangkan kadar pengangguran.

Masyarakat juga boleh memilih untuk bekerja atau menawarkan perkhidmatan mereka secara pasif atau aktif tanpa terikat dengan kekangan masa.

Aplikasi pintar Gago Instant Job menyediakan peluang untuk menjana pendapatan tambahan selain perkhidmatan yang lebih murah, mudah dan cepat terus dari pemain industri kepada pelanggan yang memerlukan. — DayakDaily

Advertisement