NGEMAH, 11 Dis: Keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih Anyi Jana sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah pada Pilihanraya Negeri (PRN) ini disifatkan tepat.
Tinjauan DayakDaily di Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun mendapati rata-rata penduduk selesa dengan keputusan tersebut.
Penduduk menganggap ia akan mengukuhkan lagi sokongan terhadap GPS yang diwakili Parti Rakyat Sarawak (PRS).
“Calon baharu Anyi ini seorang yang rendah diri dan diterima oleh rakyat. Pertama, kami di Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun ini memang tidak akan menumbangkan kerajaan sedia ada.
“Kerajaan ini telah membantu kami satu ketika dahulu sehingga kami berada di penempatan ini dengan pelbagai kemudahan,” kata Jimbai Ugak, 63, ketika ditemui hari ini.
Tambah mereka, kawasan Ngungun memang sentiasa memberikan kemenangan kepada calon dari pihak kerajaan (Barisan Nasional ketika itu) walaupun keseluruhan undi yang diperolehi oleh calonnya kurang majoriti.
Namun dengan Anyi sebagai calon di DUN Ngemah, mereka beranggapan ramai yang tidak menyokong calon GPS pada pilihanraya yang lepas akan beralih pada PRN yang diadakan 18 Disember ini.
“Kawasan Ngungun memang sentiasa memberikan kemenangan kepada GPS, manakala di kawasan Nanga Tada, Nanga Dap, Bawan serta Jagau agak kurang sokongan pada pilihanraya tahun 2016.
“Kini, dengan Anyi diterima oleh para pengundi di kebanyakan skim penempatan di kawasan ini, mereka yang membangkang akan kembali menyokong GPS,” kata mereka.
Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun di Ngemah memiliki 25 buah rumah panjang dengan lebih 4,500 penduduk.
Kerusi DUN Ngemah pada PRN kali ini menyaksikan pertembungan 4 penjuru dengan Anyi yang merupakan bekas guru dicabar 3 calon dari parti yang lain.
Parti Sarawak Bersatu (PSB) meletakan Dr Joseph Jawa Kendawang manakala Parti Keadilan Rakyat(PKR) mempertaruhkan Satu Anchom.
Turut meletakkan calon ialah Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) menerusi Leo Bunsu.
Kegagalan penyandang kerusi DUN Ngemah, Alexander Vincent memperoleh majoriti yang selesa pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11) menyebabkan beliau digugurkan dalam saingan kali ini.
Pemangku Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum terdahulu berkata, keputusan dibuat sebulat suara kepimpinan parti.
Pada PRN 11, Alexander yang berdepan saingan empat penjuru menang dengan majoriti tipis dengan 154 undi.
Beliau yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) bagaimanapun berjaya menewaskan calon Bebas, Joseph Jawa Kendawang yang memperoleh 2,734 undi, Thomas Laja Besi dari PKR (396) dan Richard Lias dari DAP (243). — DayakDaily