Anwar: Memperkukuhkan jentera parti bagi PRN12

Datuk Seri Anwar Ibrahim ( dua dari kanan) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga dari kanan) ketika mengadakan perjumpaan dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak di Riverside Majestic Hotel, di sini, semalam.

KUCHING, 16 Sept: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pemimpin PKR di negeri ini memperkukuhkan lagi jentera parti bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

“Saya menekankan beberapa perkara, pertama jentera harus kukuh dan parti harus bergerak sebagai satu pasukan yang padu,” katanya selepas menghadiri perjumpaan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak di Riverside Majestic Hotel, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga bersamanya menghadiri perjumpaan itu.


Anwar mendedahkan selepas perjumpaan itu, beliau berpuas hati kerana pemimpin di Sarawak ada satu fokus sama kepada memperkasa jentera parti itu.

Katanya dalam perbincangan menghadapi PRN juga ada dua perkara dibangkitkan dalam perjumpaan terbabit iaitu berkaitan masalah kebajikan rakyat dan juga berkaitan PRN itu yang masih belum diketahui bila diadakan.

“Tetapi kita telah meminta mereka mempersiapkan jentera dan tumpukan kerja.  Sekarang ini rakyat mengharapkan parti dan wakil rakyat dan jentera kerajaan menjaga kepentingan mereka,” katanya.

Katanya rakyat Sarawak juga mahu kerajaan mengetahui isu kehidupan mereka iaitu isu yang berkaitan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan mereka.

“Jangan terhakis semangat netizen ini, kadang-kadang kita sibuk dalam soal remeh sedangkan bagi rakyat (mahu kerajaan melihat) isu ekonomi, soal pekerjaan pengganguran yang dihadapi,”katanya.

Sementara itu, mengenai ada pemimpin pusat PKR telah menghadiri jamuan diadakan satu parti komponen Pakatan Harapan lain, Anwar berkata beliau tiada masalah dengan pemimpin terbabit menghadiri jamuan itu sekiranya memang dijemput menghadirinya. — DayakDaily