Anti lompat parti sudah ada di dalam peruntukan perlembagaan Sarawak – Fadillah

Fadillah mengulas berhubung RUU Anti Lompat Parti di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 30 Julai: Perkara berkaitan anti lompat parti sudah ada di dalam peruntukan perlembagaan Sarawak, kata Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Fadillah Yusof.

Namun jelas beliau yang juga Menteri Kanan Kerja Raya, ia tidak dapat dikuatkuasakan berikutan terdapatnya kes berkaitan di mahkamah Kelantan.

“Ia tidak dapat dikuatkuasakan kerana peruntukan tersebut tidak sah dari segi perundangan disebabkan bercanggah dengan perlembagaan.

Advertisement

“Jadi bila perlembagaan sekarang ini sudah dipinda (Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti) di Dewan Rakyat, bermakna peruntukan itu mungkin sekarang ini boleh dikuatkuasakan,” katanya di sidang media di Kuching hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Pejabat Sekretariat Dan Pelancaran Logo Sambutan Ulang Tahun Ke 50 Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) di Wisma Saberkas di sini, hari ini.

Tambah Fadillah setelah RUU Anti Lompat Parti diluluskan Dewan Rakyat 2 hari lepas, maka ia terserah kepada Sarawak untuk membuat keputusan.

Katanya, ia adalah samada untuk membuat satu peruntukan yang sama dengan apa yang dibuat di peringkat persekutuan atau memadai dengan peruntukan yang sedia ada .

“Itu mereka harus kaji dari sudut perundangan tetapi Sarawak tiada masalah dan oleh sebab itu kita menyokong penuh dan sebelum ini pun kita sudah menggubal undang-undang yang sama.

“Peguam mereka (Sarawak) perlu mengkaji samada perlu pindaan atau memadai dengan peruntukan sedia ada,” ujar Fadillah yang juga MP Petra Jaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datruk Seri Dr Maximus Ongkili pada 2 hari lepas menggesa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak untuk segera membentangkan RUU Anti Lompat Parti di peringkat negeri dalam tempoh 60 hari.

Menurut Ongkili, ini kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk melarang ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan Parlimen tidak terpakai di kedua-dua DUN berkenaan. — DayakDaily

 

Advertisement