This Content Is Only For Subscribers
Oleh Chris Bishop
SRI AMAN, 7 Jun: Sungai Pantu di Sri Aman masih menjadi sumber rezeki kepada masyarakat Iban di sekitarnya.
Udang pelbagai saiz, ikan tapah dan ikan labang antara yang masih banyak di sungai tersebut bila tiba musimnya.
Namun untuk mendapatkan udang dan ikan ia bukan satu kerja yang mudah.
Mana tidaknya, Sungai Pantu juga dihuni haiwan pemangsa—si buaya yang mengancam sebarang aktiviti di sungai.
Menurut Wan (bukan nama sebenar), mereka yang mencari rezeki dengan kaedah nyelambau menghadapi bahaya di serang buaya.
Walaupun belum ada kes serangan membawa maut, katanya, mereka yang mencari ikan di sungai tersebut sering diganggu oleh buaya.
“Ia bukanlah kerja mudah. Sungai Pantu ada buaya (kenyulung), tapi belum ada kes serangan.
“Pernah pencari ikan dan udang diganggu dan cedera akibat berselisih dengan buaya semasa aktiviti nyelambau,” katanya.
Namun demikian, tambah Wan, buaya dan penduduk Pantu saling menghormati.
“Jika penduduk terserempak dengan bangkai buaya di sungai, mereka akan mengambil dan menguburkan buaya tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wan bersama ibunya menjual hasil tangkapan seperti udang dan ikan dari Sungai Pantu di Pasar Lachau. — DayakDaily