Anjing peliharaan lelaki warga emas bantu pasukan SAR jumpa bakul rotan milik mangsa

Kelihatan anjing milik mangsa yang membantu pasukan SAR.
Advertisement

Oleh Dean Adam

MARUDI, Jun 18: Seekor anjing peliharaan seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang telah membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam operasi mengesan lelaki yang hilang sejak Ahad lepas.

Anjing yang diberi nama sebagai Usat telah mengesan tapak kaki mangsa, Malling Salleh, 79, dan membantu pasukan SAR menemui sebuah bakul rotan yang dikatakan milik lelaki berkenaan.

Advertisement

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, selain bakul pasukan SAR juga menemui bakul topi dan kunci rumah milik mangsa di kawasan semak yang jaraknya kira-kira 30 meter dari kesan terakhir tapak kaki mangsa dijumpai.

Katanya, sebelum itu difahamkan anjing tersebut telah ke rumah menantu mangsa pada petang lelaki tersebut dikatakan hilang.

“Anjing berkenaan juga dikatakan tidak makan susulan kehilangan mangsa berkenaan.

“Bagaimanapun, setakat pukul 7 malam mangsa masih gagal dikesan,” katanya malam ini.

Bakul rotan milik mangsa yang ditemui pasukan SAR.

Law menambah, operasi hari pertama telah dilakukan oleh empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi.

Katanya, jarak perjalanan dari Marudi ke lokasi kejadian adalah kira-kira 200 kilometer (km) dan mengambil masa 3 jam 30 minit mengikut jalan darat.

“Setibanya di lokasi, pasukan SAR yang turut disertai oleh polis, APM serta penduduk kampung telah dibahagikan kepada 4 kumpulan kecil.

“Operasi pencarian telah dilakukan sejauh 6km dari tapak kaki mangsa ditemui, iaitu di tebing sungai menggunakan teknik ‘sweeping’,” katanya.

Maklumat lanjut akan dikemaskini dari masa ke semasa. — DayakDaily

Advertisement