MUKAH, Sept 29: Gara-gara tidak berpuas hati dengan jumlah bayaran pampasan yang diterima, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila bertindak merempuh tiga pekerja Projek Lebuh Raya Pan Borneo di sini.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.40 pagi itu mengakibatkan ketiga-tiga pekerja tersebut mengalami kecederaan.
Jurucakap polis berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila suspek yang memandu kenderaan pacuan empat roda dikatakan merempuh pekerja tersebut ketika mereka
sedang menjalankan kerja-kerja merobohkan rumahnya.
Katanya, ketiga-tiga pekerja berkenaan dikatakan mengalami kecederaan ekoran insiden berkenaan.
“Kesemua mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
Jelasnya, pihak polis sudah menahan suspek untuk siasatan lanjut.
“Polis juga sedang menyiasat motif suspek yang berbuat demikian hingga mengakibatkan kecederaan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan,” katanya. — DayakDaily