SRI AMAN, 25 Julai: Tindakan pantas penghuni di rumah panjang Winton Mupit di Sungai Besai Asal, Punggu, di sini berjaya memadam api daripada merebak ekoran lintar pintas hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kebakaran yang dilaporkan berlaku pada jam 7.38 pagi berjaya dipadamkan menggunakan alat pemadam api.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman yang dikerahkan ke lokasi hanya memeriksa keadaan untuk memastikan kebakaran telah padam sepenuhnya.
“Sampai di tempat kejadian didapati benar berlaku lintar pintas melibatkan sebahagian struktur bangunan rumah panjang dua tingkat separuh kekal.
“Tiada tindakan operasi dijalankan kerana kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh penghuni rumah panjang menggunakan dua unit alat pemadam api jenis ABC,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.
Anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily