Angka kematian Covid-19 di Malaysia meningkat

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 9 Okt: Enam lagi kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan kes kematian akibat pandemic itu meningkat kepada 152 kematian sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes kematian yang direkodkan di Sabah iaitu masing-masing dua kematian direkodkan di Hospital Tawau, Hospital Semporna dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Tiga kluster baharu dikesan pada hari ini di Sabah, Perak dan Terengganu sekali gus menjadikan 48 kluster aktif ketika ini termasuk yang direkodkan pada hari ini.


“Kluster terbabit ialah Kluster Atap di Kota Kinabalu dengan empat kes positif, Kluster Bah Lada, Perak (4 kes) dan Kluster Bah Sahabat, Terengganu (10 kes) dan ketika ini sebanyak 102 kluster telah tamat daripada keseluruhan 150 kluster yang direkodkan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kes positif Covid-19 hari ini menunjukkan penurunan berbanding semalam dengan 354 kes berbanding 375 kes semalam

Sebanyak 188 kes sembuh turut dilaporkan menjadikan jumlah kes sembuh meningkat kepada 10,707 kes atau 72.72 peratus.

“68 kes pada hari ini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 25 kes memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Katanya, Sabah menyumbangkan jumlah kes terbanyak dengan 274 kes diikuti Selangor (24) sementara Sarawak, Kedah dan Kuala Lumpur masing-masing 10 kes.

Manakala Pulau Pinang mencatatkan 8 kes, Johor (5 kes), Terengganu (5 kes), Negeri Sembilan (4 kes), Putrajaya (2 kes) dan Perak dan Labuan masing masing satu kes.

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia kini telah memasuki gelombang ketiga pandemik Covid-19 selepas mencatatkan angka tiga digit kes baharu selama beberapa hari berturut-turut.

“Gelombang ketiga ini lebih mencabar kerana ia melibatkan virus mutasi D614G dalam kluster-kluster Kedah dan Sabah yang cepat menjangkiti dan mudah merebak.

“Namun, KKM lebih bersedia menghadapi gelombang kali ini dan telah membuat persiapan lengkap lebih awal,” katanya.

Justeru beliau mengingatkan orang ramai supaya bekerjasama dengan KKM dalam usaha untuk memutuskan penularan rantaian wabak itu. –DayakDaily