Oleh Dean Adam
PADAWAN, Nov 8: Malang menimpa seorang anggota tentera apabila dia maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah bas sekolah di Jalan Puncak Borneo berhampiran Kampung Bratan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.42 pagi itu, mangsa, Joharie Safri@Jebon, 36, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya Kuching.
Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kemalangan, mangsa dikatakan telah merempuh bahagian depan sebuah bas sekolah di laluan berkenaan.
“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada anggota badannya.
“Pasukan bomba yang turut berada di lokasi kemalangan melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, jurucakap sama menambah, pemandu bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily