Anggota tentera maut dalam kemalangan di Batu Kitang

Keadaan di lokasi kejadian.

KUCHING, 10 April: Seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terlibat kemalangan kendiri di Jalan Batu Kitang, di sini malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata mangsa iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun, merupakan anggota tentera dan beralamatkan dari Kampung Batu Kitang Jaya, Jalan Batu Kitang.

Katanya, mangsa semasa kejadian dikatakan bergerak dari arah Bau menghala ke Kuching sekitar jam 12 tengah malam.


“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan jalan raya kendiri tersebut melibatkan sebuah motosikal yang ditunggangi mangsa.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang bergerak lurus menghala ke Kuching, tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang lampu di bahu kiri jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut berhubung kemalangan tersebut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita menyeru sekiranya ada saksi yang nampak kejadian untuk membantu siasatan,” katanya. — DayakDaily