Anggota polis maut dalam kemalangan di Kota Samarahan

PDRM logo

KOTA SAMARAHAN, 15 Jan: Seorang anggota polis maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 11 Jalan Datuk Mohd Musa, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Brodie Brangka berkata mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Padawan semasa kejadian menunggang motosikal dari arah Kota Sentosa menuju ke Kota Samarahan sekitar jam 11.11 malam.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, mangsa telah berlanggar dengan sebuah kereta yang dikatakan dalam proses masuk ke simpang Bandar Riyal.


“Mangsa semasa kejadian bergerak lurus dan telah berlanggar dengan sebuah kereta yang hendak masuk ke simpang.

“Akibat dari kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily