KUCHING, Feb 19: Anggota dan pegawai polis di Sarawak diarahkan berusaha mendapatkan lebih banyak maklumat berkualiti mengenai kegiatan jenayah judi dan dadah di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata demikian kerana dua jenayah tersebut menjadi kebimbangan utama masyarakat di Sarawak dan perlu dibanteras pasukan itu bersama semua jenayah lain.
“Justeru, saya menyeru semua lapisan pegawai dan anggota polis memainkan peranan mendapatkan maklumat berkualiti terutamanya mengenai kegiatan judi dan dadah yang menjadi kebimbangan masyarakat pada masa ini,” katanya semasa Majlis Perbarisan Selamat Datang Pesuruhjaya Polis Sarawak, di Padang Kawat, Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Jalan Badruddin, di sini, hari ini.
Aidi berkata tindakan secara berterusan bagi membanteras dua jenayah itu juga perlu untuk mengelakkan tanggapan negatif masyarakat terhadap kewibawaan pasukan polis dalam membanteras jenayah.
“Masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah menjadi kebimbangan masyarakat kerana ia mendatangkan implikasi negatif kepada golongan belia di negeri ini, selain cenderung melakukan jenayah,” katanya.
Disamping itu, bagi meningkatkan lagi hubungan polis dengan masyarakat setempat, beliau juga mengarahkan semua Ketua Polis Daerah (KPD) di Sarawak menjalankan program kepolisan komuniti.
“Semua KPD hendaklah mastikan program ini dijalankan di Ibupejabat Polis daerah (IPD) dan balai-balai (di daerah) masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, perlaksanaan program itu bukan sahaja dapat menunjukkan kehadiran polis kepada masyarakat tapi juga bertujuan merapatkan lagi hubungan polis dengan masyarakat setempat.
Aidi berkata, secara tidak langsung hubungan yang wujud dengan masyarakat setempat ini akan juga memperbaiki imej polis di mata mereka. — DayakDaily