Anggota penguatkuasa JPJ temui ajal terlibat dalam kemalangan

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

Oleh Dean Adam

LUNDU, April 18: Malang menimpa seorang anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila dia menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di KM15, Jalan Lundu-Bau di sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 3 itu mengakibatkan mangsa, Rekeo Andrew Achin, 40, dari Kampung Senibong mengalami kecederaan parah.

Advertisement

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dikatakan datang dari arah Bau menuju ke Lundu.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah.

“Petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, pemandu kereta yang berusia 52 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily

Advertisement