Anggota APM berjaya pujuk dan selamat wanita cuba terjun bunuh diri

Anggota APM berjaya memujuk dan menyelamat seorang wanita yang dipercayai cuba terjun dari bangunan Emart Batu Kawa.
Advertisement

KUCHING, Jan 13: Kecekapan pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuching berjaya memujuk seorang wanita yang dipercayai cuba bunuh diri dengan terjun dari tingkat atas sebuah bangunan pasar raya Emart Batuk Kawah di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, wanita yang berusia 25 tahun yang dipercayai mengalami masalah peribadi tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya dipujuk dan diselamatkan oleh anggota APM.

Difahamkan, anggota APM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memujuk sebelum berjaya menggagalkan niat wanita tersebut.

Advertisement

Sebelum itu, wanita tersebut dilihat berada di anjung tingkat atas bangunan berkenaan sebelum disedari orang awam yang kebetulan lalu di situ sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan.

Seorang jurucakap APM Daerah Kuching berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 pagi mengerahkan sepasukan anggota APM ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota APM mendapati seorang wanita berada di luar tingkat atas bangunan pasar raya di situ.

“Pasukan APM kemudian bertindak memujuk sebelum menyelamatkan wanita itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap sama menambah, wanita yang berasal dari Kampung Melayu itu kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut. — DayakDaily

Advertisement