Oleh Brad Rantayy
MIRI, 29 April: Gara-gara ingin memiliki sebuah telefon bimbit baharu, seorang lelaki sanggup mengugut ibu kandungnya selepas ibunya enggan memberikannya wang untuk membeli barangan berkenaan.
Dalam kejadian pada Rabu (28 April), suspek berusia 21 tahun dan tidak bekerja telah bertindak menyerang ibunya di tempat kerja di Centre Point sekitar jam 1 petang.
Suspek yang mula bertindak agresif terhadap ibunya, menyebabkan mangsa menamparnya kerana ketakutan.
Suspek dikatakan telah menunggu ibunya habis waktu bekerja dan sekali lagi mengulangi bersuara keinginannya agar ibunya memberikan wang.
Setelah selesai waktu bekerja, mangsa dijemput anak perempuannya, dan suspek telah ikut serta masuk ke dalam kereta untuk sama-sama balik.
Namun, semasa berada di dalam kereta tersebut, suspek masih lagi bising dan memarahi ibunya agar memberikannya wang.
Jelak dengan kelakuan adiknya itu, kakak suspek telah memandu ke arah Balai Polis Pusat Miri.
Namun, apabila sampai sahaja di hadapan balai, suspek telah bertindak membuka pintu kereta dan melarikan diri.
Susulan kejadian sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah menahan suspek sekita jam 9 malam di sebuah rumah di Taman Tunku.
Tangkapan disahkan Ketua Polis Miri ACP Hakemal Hawari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. — DayakDaily