Anak jadi tebusan bapa berjaya diselamatkan

Mangsa berjaya diselamatkan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

KUCHING: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang dijadikan tebusan bapanya berjaya diselamatkan selepas polis melepaskan tembakan taser menyebabkan suspek lemah dalam satu insiden di Kampung Bintawa Hilir, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5.45 petang semalam apabila Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan berhubung seorang lelaki mengamuk menggunakan senjata tajam.

Suspek berusia 33 tahun itu dikatakan mengacu senjata tajam tersebut ke leher anaknya dan mengugut mencederakannya, jika pihak polis cuba memasuki rumahnya yang dikunci dari dalam.


Setiba di lokasi, pegawai dan anggota yang terlibat berusaha memujuk suspek agar menyerah diri dan melepaskan mangsa.

“Bagaimanapun suspek gagal dipujuk menyebabkan Asisten Superintendan Mohd Fauzi bertindak menyerbu masuk dengan memecah masuk dan terus melepaskan tembakan taser yang serta-merta melemahkan suspek, sebelum anggota lain bertindak menyelamatkan mangsa,” katanya.

Suspek berjaya ditangkap untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.

“Polis telah menahan suspek dan siasatan awal mendapati dia mengalami gangguan mental selepas bercerai,” kata Abang Ahmad.