Ambulans bawa pesakit dilanggar Toyota Hilux

Gambar komposit kejadian tersebut dari tangkap skrin rakaman kamera papan pemuka.
Advertisement

KUCHING, 19 Mei: Tular di media sosial satu video menunjukkan sebuah ambulans dilanggar sebuah Toyota Hilux di Jalan Bau-Kuching di sini sejak pagi tadi.

Sumber memberitahu kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi ketika ambulans persendirian tersebut dalam perjalanan dari Lundu untuk menghantar pesakit.

Berdasarkan video yang dirakam kamera papan pemuka sebuah kereta itu jelas menunjukkan Toyota Hilux tersebut telah memasuki laluan ambulans berkenaan.

Advertisement

Bagaimanapun, pemandu ambulans bertindak pantas membelok ke kiri jalan menyebabkan hanya bahagian tepi kanan sahaja dilanggar.

Toyota Hilux tersebut terbabas di belakang ambulans dan nyaris melanggar sebuah lagi kenderaan.

Tiada kecederaan parah dilaporkan dalam kejadian tersebut, hanya cedera ringan membabitkan pemandu ambulans serta dua penumpangnya, termasuk pesakit yang perlu dihantar.

Manakala pemandu Toyota Hilux juga dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Bingkok John mengesahkan ada berlakunya kemalangan tersebut.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan. — DayakDaily

Advertisement