Ambil peluang dari kemudahan perhubungan dan Internet — Naroden

Naroden ketika berucap pada Program Jum Regista Bisnes Sarawakku Sayang di Gedong.
Advertisement

KUCHING, 21 Okt: Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais mengajak penduduk di Gedong bersedia menghadapi perubahan yang sedang berlaku di daerah tersebut.

Katanya, Daerah Gedong pada masa kini semakin dekat dengan Bandaraya Kuching dengan terbinanya jalan penghubung dan beberapa jambatan.

“Kawasan kita di Gedong semakin dekat dengan Bandaraya Kuching melalui Jambatan Sungai Gedong dan Trusan, kita dihubungkan terus ke Samarahan dan Kuching.

Advertisement

“Ini bermakna bukan sahaja perhubungan kita semakin dekat dan mudah, malah produk pengeluaran dari kawasan kita akan semakin dekat dengan pasaran yang lebih besar di Bandaraya Kuching dan Samarahan,” katanya.

Naroden berkata demikian pada program Jum Regista Bisnes Sarawakku Sayang di Gedong semalam.

Justeru, tambah beliau, penduduk di kawasan luar bandar khususnya di Gedong harus bersedia untuk menghadapi perubahan ini selain bekerja melalui amalan ekonomi digital.

“Sama ada kita sedar ataupun tidak, teknologi telefon pintar dan Internet telah mengubah cara kita bekerja, namun masih ramai di kalangan penduduk yang belum menggunakan teknologi ini sepenuhnya.

“Teknologi ini membantu kita di dalam perniagaan dan membolehkan kita memasarkan produk pertanian,” ujar Naroden yang juga ADUN Gedong.

Melalui teknologi Internet, tambah beliau, peniaga kecil dan besar termasuk peniaga di bandar mendapat peluang sama rata dalam usaha memasarkan produk masing-masing. — DayakDaily

Advertisement