Amaran cuaca kategori pertama untuk kawasan perairan Sarawak sehingga Nov 2

Imej satelit cuaca hari ini yang disiarkan dalam laman web JMM.

KUCHING, Okt 28: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) mengeluarkan amaran kategori pertama bagi angin kencang dan laut bergelora diramalkan bagi kawasan perairan Sarawak dan lima negeri lain dalam tempoh mulai esok (Okt 29) sehingga Jumaat (Nov 2) depan.

Dalam kenyataan amaran tersebut yang dikeluarkan jam 7 petang tadi dan disiarkan di laman web JMM di www.met.gov.my, mendedahkan angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Sarawak dan lima negeri lain iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Barat Sabah dalam tempoh itu.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” menurut JMM.


Selain daripada itu, JMM juga meramalkan kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak akan terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dalam tempoh terbabit.

Bagi pihak perkapalan, JMM juga memberi amaran ramalan angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan selatan Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef South, Reef North, Layang-layang, Labuan dan Palawan bagi tempoh yang sama.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. — DayakDaily