Amanah digesa tunaikan janji PRU14 sebelum fikir untuk menang di Demak Laut

Dr Hazland berinteraksi dengan masyarakat setempat ketika melawat kawasan di Demak Laut baru-baru ini.

KUCHING, Nov 17: Parti Amanah digesa tunaikan janji-janji PRU14 sebelum berfikir untuk menang di Demak Laut.

Ketua Penerangan PBB Demak Laut Amzah Dollah berkata calon Amanah di kawasan dewan undangan negeri tersebut wajar menunaikan janji pilihan raya umum yang lepas, sebagai sebuah parti komponen pemerintah di peringkat Kerajaan Persekutuan, sebelum berfikir untuk merampas kerusi yang di anggap kubu kuat PBB dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Kita di peringkat PBB Demak Laut mengalu-alukan Amanah membuka cawangan di kawasan DUN Demak Laut seperti di Taman Mesra Bako dan Kampung Tanjung Bako.


“Bagaimanapun, terpulang kepada rakyat sama ada menerima atau tidak kehadiran mereka. Semua ini terserah kepada rakyat yang menentukannya kerana rakyat di DUN Demak Laut sudah matang untuk membuat keputusan.

“Saya yakin rakyat ketika ini sudah memahami perjuangan parti tempatan seperti PBB dalam memperjuangkan hak rakyat dan negeri Sarawak. Tidak seperti parti pembangkang yang datangnya dari Semenanjung Malaysia dan hanya mahu mengaut hasil bumi Sarawak seperti minyak dan gas,” katanya.

Mengulas mengenai keyakinan Amanah untuk menang di kawasan DUN Demak Laut pada pilihan raya negeri akan datang, ketua ranting Taman Bako Mesra, Dollah Harun, berkata mereka boleh meletakkan keyakinan yang tinggi melangit, tetapi rakyat berkuasa untuk memilih.

“Kami menghormati keyakinan Amanah untuk cuba memenangi DUN Demak Laut menerusi apa yang dilakukan ketika ini dengan menambah keahlian dan menubuhkan cawangan di beberapa kampung dalam DUN Demak Laut.

“Di peringkat cawangan dan ranting, kami PBB tidak akan berdiam diri dan akan sentiasa menambah keahlian di setiap ranting dari semasa ke semasa dalam memastikan PBB terus relevan kepada rakyat.

“Malah, selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas, jumlah mereka yang mendaftar sebagai ahli PBB semakin meningkat kerana mereka tahu hanya PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sahaja yang mampu menjaga dan memelihara Sarawak,” katanya.

Dollah menambah, ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni sehingga ke hari ini tidak pernah jemu untuk turun padang dan berdamping dengan rakyat dalam menyelami permasalahan rakyat dan menyalurkan pembangunan setempat.

Sementara itu, bagi ketua ranting PBB Kampung Bako Tengah, Azhar Hamdan, berkata ketika ini kawasan Bako sedang pesat membangun di bawah pentadbiran Dr Hazland dan PBB.

“Jambatan Bako yang merupakan projek Kerajaan Negeri Sarawak kini telah siap dan dijangka akan dibuka kepada penduduk kampung pada Disember ini. Projek ini akan memberikan manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk di Kampung Bako Hulu, Kampung Bako Tengah dan Kampung Bako Hilir.

“Tidak cukup dengan itu, beberapa Projek Transformasi Luar Bandar dan telah dilaksanakan di semua kampung. Ini secara langsung telah berjaya membangunkan Bako sebagai sebuah kawasan yang sedang membangun.

“Ketika ini, Dr Hazland telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk di kawasan Bako dan Demak Laut. Tiada alasan untuk tidak menyokong beliau dan PBB dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Mengenai jumlah keahlian PBB Demak Laut, setiausaha cawangan parti Khalid Sulong memberitahu jumlahnya telah meningkat kepada 10,000 lebih.

Pada pilihan raya negeri 2016, Dr Hazland menang dengan majoriti 7,382 undi, mengalahkan calon Amanah Fidzuan Zaidi. — DayakDaily