Alza hilang dicuri, ditemukan terjunam di sungai di Kota Samarahan

Anggota Bomba sedang memeriksa dalam kereta.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, 15 April: Sebuah kereta Perodua Alza yang dilaporkan hilang oleh pemiliknya dari Taman Desa Ilmu, di sini ditemukan di dalam sungai berdekatan Pangkalan Feri Muara Tuang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata pihaknya menerima berita penemuan kereta tersebut dari orang awam pada jam 12.02 tengah hari, hari ini.

Katanya, anggotanya terus ke lokasi kejadian dan dimaklumkan tiada mangsa berada di dalam kereta tersebut.

Advertisement

“Kereta tersebut dilaporkan hilang di tempat letak kereta di belakang sebuah kafe di Taman Desa Ilmu sekitar jam 12.30 tengah malam, malam tadi (Rabu).

“Pada hari ini, IPD Kota Samarahan dimaklumkan dengan penemuan kereta tersebut dan pemeriksaan mendapati tiada orang di dalam kereta tersebut.

“Dipercayai penjenayah yang mencuri kereta tersebut telah keluar dari tingkap bahagian pemandu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut memberitahu kereta tersebut telah ditarik keluar dari dalam sungai dengan bantuan pihak Bomba.

“Pihak polis juga tidak menolak andaian bahawa kenderaan tersebut segaja ditengelamkan oleh penjenayah atau ia terjatuh ke dalam sungai semasa dibaw lari oleh penjenayah,” katanya.

Siasatan polis juga mendapati wang RM1,000 yang disimpan di dalam dompet pemilik kereta yang ditinggalkan di dalam kereta juga dilaporkan hilang.

Bagaimanapun, siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan diketuai Pegawai Kanan Bomba Kam Liman hadir di lokasi kejadian untuk menarik kereta tersebut dari dalam sungai. — DayakDaily

Advertisement