Ali Biju tarik diri bertanding DUN Krian

Ali Biju (file photo)

KUCHING, 9 DIS: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Krian Datuk Ali Biju hari ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding di kerusi tersebut pada Pilihanraya Negeri(PRN) ini.

Justeru, beliau menyeru penyokongnya untuk memberikan sokongan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak(GPS) Friday Belik.

“Saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon DUN Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik.


“Saya menyeru kepada seluruh pengundi di DUN Krian, DUN Kalaka, dan DUN Kabong yang kesemuanya di bawah Parlimen Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon-calon GPS,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ali yang juga MP Saratok, terdahulu beliau menawarkan diri sebagai calon DUN Krian setelah mengambil kira pandangan dan desakan daripada pimpinan masyarakat dan pengundi.

Sebagai wakil rakyat yang telah dipilih semenjak tahun 2011 katanya, dukungan dan sokongan yang padu ini telah memperkukuh tekadnya untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok.

“Walau bagaimanapun, saya menginsafi hakikat bahawa keputusan ini akan menjejaskan hubungan baik di antara BERSATU dan GPS,” ujar beliau.

Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli berkata telah mendapatkan nasihat dari pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Pengerusi Perikatan Nasional(PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia berhubung persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati di antara PN dan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya penuh yakin bahawa muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara Perikatan Nasional dan GPS,” katanya. — DayakDaily