Alam semulajadi Sarawak eksotik

Vincent(kiri) berjabat tangan dengan Amelia sambil disaksikan Karim (tiga dari kanan) di majlis perjanjian kerjasama antara MACEOS dan SCB.

Chris Bishop

KUCHING, JULAI 15: Sarawak memiliki alam semulajadi yang sangat indah dan eksotik, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa agar alam semulajadi yang menjadi khazanah negeri ini dikekalkan selain menjadi daya tarikan pelancong sekaligus menjana pendapatan kepada Negeri Sarawak.


“Sarawak memiliki banyak khazanah yang boleh ditunjuk kepada dunia luar.

“Mungkin bagi rakyat Sarawak mereka melihat pokok-pokok, bukit-bukit dan pantai-pantai disini sebagai tidak menarik kerana mereka melihat semua ini setiap hari.

“Tetapi bagi masyarakat luar, mereka melihat semua ini sangat eksotik.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis menandatangai perjanjian kerjasama antara Biro Konvensyen Sarawak (SCB) dengan Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS) hari ini.

Tambah Karim, para pelancong dari negara luar sanggup untuk merentas desa dan hutan untuk masuk ke dalam gua, menaiki bukit dan mereka sanggup membayar untuk menikmati khazanah ini.

Mengambil contoh sukan lasak ‘spartan’ yang bakal diadakan di sini tidak lama agi, Karim berkata pertandingan tersebut mendapat sambutan hangat dari para peserta.

Katanya, sukan antarabangsa itu pada masa ini telah berjaya menarik lebih 1,000 orang peserta dari luar negara.

“Oleh sebab itu, amatlah penting untuk rakyat Sarawak agar menjaga alam semulajadi ini dengan baik,” ujar beliau.

Terdahulu dalam ucapan di majlis tersebut, Karim yakin perjanjian yang ditandatangani akan membantu meningkatkan acara persidangan perdagangan dan industri pelancongan di negeri ini.

Pada majlis tersebut, MACEOS diwakili Presiden Dato Vincent Lim dan SCB diwakili Ketua Pegawai Operasi BESarawak, Amelia Roziman. Turut hadir pengerusi BESarawak Tan Sri Muhammad Leo Micheal Toyad. — DayakDaily