Aktiviti seleweng 34,000 liter diesel subsidi di Kuching tumpas — KPDNHEP

Matthew (kanan) memeriksa tangki IBC yang digunakan untuk menyimpan diesel.

KUCHING, 17 Okt: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak hari ini mematahkan aktiviti penyelewangan 34,000 liter minyak diesel subsidi di Jalan Stephen Yong, Kuching sekitar jam 5.30 pagi.

Pengarahnya Matthew Dominic Barin berkata, keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM163,800.

“Hari ini sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sarawak telah menjalankan pemeriksaan dan telah menghasilkan satu kes hasil aduan orang awam.

“Risikan telah dijalankan selama dua minggu,” katanya ketika ditemui di lokasi penyimpanan diesel.

Matthew Dominic Barin

Tambah Matthew, pihaknya telah menyita sebuah kenderaan iaitu lori Hino, tangki IBC, peralatan jenis pam penyedut minyak dan minyak diesel 34,000 liter dengan anggaran nilai RM73,100.

“Semasa pemeriksaan, KPDNHEP Sarawak telah menahan dua orang warga tempatan di lokasi kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961, menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan oleh pengawal bekalan,” ujar Matthew. — DayakDaily