Aktiviti pemindahan batuan secara haram di Betong dan Sarikei dibanteras

Beberapa buah lori yang telah disita oleh Unit penguatkuasa Tanah dan Survei berkaitan kegiatan pemindahan bahan batuan tanpa kelulusan baru-baru ini.

KUCHING, Feb 1: Unit penguatkuasa Jabatan Tanah dan Survei (Landas) Sarawak telah mematahkan aktiviti pemindahan bahan batuan tanpa kelulusan di Sarikei dan Betong.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut hari ini, sebanyak 10 buah jentera dan kenderaan berat yang digunakan bagi menjalankan aktiviti berkenaan telah disita sebagai bahan bukti ketika operasi yang dijalankan pada Rabu lepas (30 Januari).

“Aktiviti tersebut berjaya dikesan hasil daripada rondaan yang dilaksanakan oleh unit penguatkuasa jabatan tersebut,” Landas berkata.


Antara jentera berat yang turut disita pihak berkuasa.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 32A Kanun Tanah Negeri (Bab 81).

Susulan itu, orang ramai yang ingin melakukan aktiviti pengorekan/pemindahan bahan batuan dinasihatkan untuk merujuk terlebih dahulu ke Pejabat Tanah dan Survei yang berhampiran untuk nasihat lanjut bagi mengelak sebarang tinakan penguatkuasaan.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung dengan aktiviti-aktiviti seperti ini kepada Jabatan Tanah dan Survei melalui talian 082-444111 (Ibu pejabat), 555999 atau perkhidmatan Talikhidmat melalui laman sesawang www.talikhidmat.sarawak.gov.my. — DayakDaily