Akibat teruja dapat bungkusan hadiah dari Amerika, suri rumah lesap RM4,800

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 19: Akibat teruja untuk mendapat bungkusan hadiah kononnya dari kenalan lelaki dari Amerika Syarikat, seorang suri rumah lesap wang RM4,800 akibat terpedaya dengan sindiket ‘parcel scam’.

Kejadian menimpa wanita berusia 49 tahun itu dilaporkan berlaku antara Disember 2 hingga 14 lepas.


Bagaimanapun, laporan polis berhubung kes berkenaan baru diterima semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan berkenalan dengan seorang lelaki bernama Ben O Lennon kononnya dari Amerika Syarikat menerusi media sosial pada Disember 2 lalu.

Jelasnya, lelaki berkenaan kemudian dikatakan berhubung dengan mangsa menerusi aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon 13212593719.

“Lelaki tersebut kemudian memberitahu wanita tersebut untuk berkenalan lebih rapat dengan mangsa.

“Suspek itu seterusnya memaklumkan dia akan mengirimkan bungkusan hadiah kepada kepada mangsa kononnya sebagai tanda perkenalan mereka,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, suspek kemudian memberitahu mangsa bahawa bungkusan yang dihantar tersebut melebihi had berat.

Katanya, lelaki berkenaan seterusnya meminta mangsa membuat bayaran kos penghantaran sebanyak RM4,800 kepada syarikat penghantaran Global Maritime Delivery Company.

“Mangsa yang terpedaya kemudian memasukkan wang berjumlah RM4,800 ke dalam satu akaun bank yang diberikan oleh lelaki itu pada Disember 14 lepas

“Selepas itu, mangsa telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Soiyimah Kiran yang menggunakan nombor telefon 016-2395460,” ujar beliau.

Tambahnya, suspek wanita berkenaan telah mengarahkan mangsa membayar wang sebanyak RM10,800 lagi untuk insuran keluarkan barangan pos itu ke dalam akaun yang sama.

“Mangsa yang mula menyedari telah ditipu kemudian tidak membuat sebarang pembayaran selepas itu.

“Jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM4,800,” katanya. — DayakDaily